Friday 10 April 2015

BIDANG SUKAN

  

 Sudah terang lagi bersuluh, Malaysia terus menempa kejayaannya di persada dunia dalam bidang sukan tidak kira lah dalam peringkat apa sekali pun samada tempatan mahupun antarabangsa. Kejayaan ini merupakan sumbangan terbesar para atlet negara yang sentiasa penuh dengan keazaman dan iltizam untuk mengharumkan nama Malaysia.

 

BADMINTON

- KELUARGA SIDEK

Tahukah anda sukan-sukan apa kah yang berjaya menaikkan nama Malaysia? Badminton, salah satunya. Anda kenal siapa Keluarga Sidek? Keluarga Sidek ialah Keluarga Dato Sidek yang telah berjaya dalam arena badminton. Allahyarham Dato' Mohd Sidek Abdullah Kamar ialah bapa kepada lima orang anak lelaki iaitu Datuk Mohmed Misbun bin Haji Mohd Sidek, Mohamed Razif Mohd Sidek, Haji Mohamed Jalani Mohd Sidek, Rahman Sidek dan yang terakhir ialah Rashid Sidek. Mereka sekeluarga merupakan jaguh sukan badminton bertahun yang lalu dan kejayaan mereka masih menjadi kebanggaan kita sehingga kini. Saingan mula berlaku di Asia setelah munculnya Misbun dan adik-adiknya dalam sukan badminton pada awal tahun 1980-an. Hal ini seterusnya menjadi pendorong kepada Kumpulan Pengurusan Antarabangsa ( IMG ) untuk meneroka bidang sukan ini di Malaysia. Zaman kegemilangan Malaysia pada tahun 1992 masih terlayar di ruang minda apabila kita melihat Piala Thomas direbut semula di negara sendiri.


Allahyarham Dato' Mohd Sidek Abdullah Kamar

 





- DATO' LEE CHONG WEI 

 

 Siapa tak kenal Lee Chong Wei, kan? Bergelar ' Pemain Badminton Nombor 1 di Dunia ' sudah cukup memberi gambaran bahawa beliau bukan calang-calang orangnya dalam permainan badminton. Dilahirkan pada 21 Oktober 1982 di Bagan Serai, Perak dan kini berumur 33 tahun. Minatnya pada zaman muda ialah bermain bola keranjang tetapi mula menanam minat lain, iaitu badminton ketika berumur 11 tahun. Ketika umurnya 17 tahun, Misbun Sidek telah mendaftarkan namanya ke dalam pasukan badminton Malaysia.

Bermulalah perkembangan kerjaya beliau sejak hari itu dan kejayaan sulung beliau boleh dilihat dalam pertandingan Malaysia Open tahun 2003. Pada tahun seterusnya, beliau terlibat dalam Sukan Olimpik dan dalam Sukan Komanwel tahun 2006 yang berlangsung di Melbourne, Australia, beliau akhirnya berjaya merangkul dua pingat emas. Pada tahun 2010 pula, Lee Chong Wei mendapat anugerah individu dalam pertandingan All England Super Series.

Diharapkan negara kita mampu menghasilkan lebih ramai pelapis dalam bidang badminton suatu masa kelak agar imej negara kekal terjamin di mata dunia.

 

SKUASY

- DATUK NICOL ANN DAVID

  

Nicol Ann David, seorang pemain skuasy profesional wanita Malaysia. Dilahirkan pada 26 Ogos 1983 di Pulau Pinang dan kini berumur 32 tahun. Menjadi wanita Asia pertama yang menduduki tangga pertama dunia dalam sukan skuasy wanita. Fuh! Nicol ialah anak kepada Ann Marie David, seorang guru berbangsa Cina dan Desmond David, seorang jurutera berbangsa India. Beliau mempunyai dua adik-beradik, Lianne dan Cheryl yang juga merupakan pemain skuasy berjaya. 

Beliau menjadi pemain skuasy pertama yang merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Skuasy Junior Sedunia sebanyak dua kali, pada tahun 1999 dan 2001 melalui bimbingan Richard Glanfieldicol. Beliau berjaya mencapai status profesional setelah memenangi gelaran WISPA sebulan selepas penyertaannya itu. Hal ini tercapai setelah beliau menewaskan Salma Shabana pada pusingan akhir Terbuka Finland Savcor. Kemudian, Nicol Ann David dikurniakan gelaran Darjah Bakti ( DB ) pada 7 Jun 2008 bersempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Sekali lagi, beliau meraih Pemain  Terbaik WISPA sebanyak enam kali berturut-turut dari tahun 2005 sehingga tahun 2010 dan pada bulan Februari 2015, Datuk Nicol Ann David memegang kedudukan sebagai juara selama 106 bulan. Ini sekali gus menjadikan beliau sebagai pemegang juara paling lama bagi sukan skuasy.

Izharlah, Datuk Nicol Ann David menjadi ikon kecemerlangan Malaysia dalam sukan skuasy. Kita, sebagai generasi muda Malaysia perlulah mengambil iktibar daripada tokoh ini.





SEPAK TAKRAW

- ZABIDI SHARIFF
   
Zabidi Shariff

Memang kita kurang mendengar kejayaan Malaysia dalam bidang sepak takraw, TETAPI kalau kita telusuri lebih lagi, sebenarnya masih ramai yang berminat untuk menyertai permainan ini kerana sepak takraw menjadi satu permainan yang seronok sekiranya para pemain mempunyai ketangkasan dalam melibas bola dan mahir bermain.

Zabidi Shariff, telah berjaya melonjakkan nama Malaysia apabila akhirnya sepak takraw mendapat pengiktirafan dengan regu emasnya di Sukan Asia Hiroshima, iaitu anugerah Olimpian 1994. Setiap lapisan masyarakat perlu sedar bahawa walaupun sepak takraw tidak begitu terserlah dan belum lebar sayapnya ke arah globalisasi dunia, kita masih perlu menyedari bahawa pengiktirafan yang diperoleh merupakan satu evolusi. Evolusi yang mula membuka mata dunia mengenai sukan sepak takraw ini.



Kejayaan para atlet Malaysia dalam menjadikan Malaysia gah di persada dunia seiring dengan perkembangan masa perlu dijadikan tauladan dan contoh agar Malaysia tidak hanya berhenti sekerat jalan untuk menempa nama dalam bidang sukan. Ketiga-tiga sukan di atas hanyalah sebagai salah satu contoh kejayaan negara kita dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah, masih banyak sukan di Malaysia yang dipertandingkan dan sukan tersebut tidak kurang jayanya dalam mempromosikan nama Malaysia di segenap penjuru dunia.

            




 













No comments:

Post a Comment