Ada sesiapa yang tahu bahawa lintah dalam famili Hirudinidae dan nama saintifiknya Hirudo Medicinalis sebenarnya mengandungi enzim yang dapat menahan darah daripada terus menjadi beku semasa ia menggigit? Angkat tangan! Okey, sebenarnya salah satu kejayaan negara kita dalam pelbagai bidang ialah bidang perubatan. Dalam bidang perubatan ini pula, penggunaan lintah dalam rawatan menjadi salah satu perkara yang tidak asing lagi didengari. Lintah? Ewww? Geli? Memang benar ada yang akan menjerit habis apabila diletakkan haiwan lembik berlendir itu ke atas kulitnya, TETAPI lintah inilah yang melancarkan peredaran darah kita. Mari teruskan bacaan mengenai bagaimana ini terjadi...
Hirudo Medicinalis
Apabila aliran perjalanan darah ke jantung tersekat, dalam sekelip mata sahaja serangan jantung akan menimpa si mangsa. Mangsa akan kekurangan udara dan otot jantungnya, iaitu otot kardiak akan berhenti berfungsi. Boleh anda bayangkan sekiranya anda berada di tempat mangsa? Sudah pasti itu menyeksakan, kan? Oleh itu, mangsa ini perlu mendapatkan rawatan secara berjadual dengan dibantu bahan pencair darah. Contohnya, Aspirin dan Heparin. Ini penting kerana serangan seterusnya boleh berlaku. Kedua-dua pencair darah tadi akan mengelakkan berlakunya penggumpalan darah si mangsa.
Malangnya, rawatan menggunakan pencair darah itu tidak 100% berkesan. Pada sekitar tahun 1850-an, penggunaan lintah dalam perubatan dilupakan tetapi dipopularkan semula. Bertahun-tahun lamanya haiwan tersebut digunakan untuk merawat manusia khususnya membuang darah kotor dalam badan kita. Sekarang, lintah digunakan untuk mengurangkan tekanan dan memulihkan semua perjalanan darah dalam tisu kita. Seperti yang dikatakan, lintah mempunyai ejen anti pembekuan darah yang akan membantu doktor bedah ketika menjalankan pembedahan kerana tempat yang dibedah akan sentiasa terbuka, iaitu tidak berlaku sebarang halangan dalam badan.
Ramai yang nak tahu, berapa lama masa yang diambil oleh lintah untuk menghisap darah kotor pesakit. Sejam? Dua jam? Sehari? Sebulan? Jawapannya.....hanya lebih kurang tiga jam. Tak lama pun. Pejam celik pejam celik dah siap semua. Berbalik semula, apabila lintah sudah kekenyangan, barulah rawatan tersebut berakhir. Luka pesakit akan dibersihkan dengan antiseptik.
Terdapat banyak lagi masalah yang dirawati menggunakan kaedah lintah. Antaranya ialah senggugut, sakit kepala dan pinggang, gout, bengkak, resdung, kencing manis dan barah payu dara.
Senggugut, atau nama Inggerisnya premenstrual dysphoric disorder ialah sakit yang datang ketika kaum wanita didatangi haid. Tanya sahaja mereka yang mengalaminya, sakitnya tidak terperi. Badan akan menjadi seram sejuk, diri terasa hendak pitam dan sakitnya pada bahagian pinggang begitu mencucuk-cucuk. Ada yang mengatakan sesetengah wanita yang mengalami senggugut akan lebih sakit berbanding melahirkan anak.
Senggugut terbahagi kepada senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut sekunder terjadi apabila sel endometrium di luar rahim wujud dan pendarahan berlaku dalam perut. Senggugut ini dialami oleh mereka yang sudah lanjut usia manakala senggugut primer dialami oleh mereka yang belum berkahwin. Senggugut primer terjadi kerana penghasilan hormon prostaglandin yang mengakibatkan rahim mengecut.
Salah satu rawatan untuk senggugut atau untuk mengurangkan masalah ini ialah tidak lain tidak bukan dengan menggunakan lintah. Pakej rawatan senggugut merawat pesakit dengan bekam lintah yang juga mengandungi bertangas dan urutan secara refleksologi. Kemudian, kaki si pesakit akan diurut refleksologi menggunakan keratan rotan yang ditekan pada bahagian tertentu. Ini membantu melancarkan sistem saraf tubuh. Permukaan kulit akan disapu alkohol sebelum beberapa ekor lintah diletakkan di atasnya. Haiwan ini akan menghisap darah kotor dalam masa tertentu sebelum dicabut.
No comments:
Post a Comment